Saturday, May 25, 2013

Ulasan Buku - Menara Condong Teluk Intan



Tajuk: Menara Condong Teluk Intan
Pengarang: Zabidin Haji Ismail
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbitan: 2013
Harga: RM 15.00 (76 Halaman)

Pengulas: Noor Adibah Mohamad



Zabidin Haji Ismail merupakan anak kelahiran Batu Masjid, Temoh, Perak Darul Ridzuan. Kini, beliau bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat di Teluk Intan dari tahun 1989-2002. Beliau juga aktif dalam penulisan dengan menerbitkan banyak buku berkaitan biografi dan sejarah antaranya Pasir Salak Bumi Pahlawan Melayu, Di Pelabuhan Senja, Menara Condong, Mokhtar Dahari Wira Bola Sepak Negara serta Memoir Dato’ Shahrudin Abdul Rahman – Kembara Panjang di Irian Jaya. Sewaktu berkhidmat di Perak, beliau telah dianugerahi watikah kehormat Kerajaan Negeri menerusi Anugerah Sastera Perak ke-3 bagi kategori Esei dan Kritikan tahun 2003.  Pengalamannya sewaktu bertugas di Teluk Intan telah membantu beliau dalam penerbitan buku ini terutama maklumat berkaitan sejarah dan keunikan Menara Condong Teluk Intan.

Buku ini secara umumnya membincangkan sejarah, seni bina serta kegemilangan Menara Condong Teluk Intan di samping sejarah Negeri Perak. Terdapat lapan bab keseluruhannya yang bermula dengan perbincangan mengenai sejarah dan pengenalan mengenai Negeri Perak. Seterusnya, perbincangan terus memfokuskan kepada Teluk Intan dari Sudut Sejarah. Bab seterusnya memfokuskan kepada Menara Condong seperti Bab 3 mengenai Menara Condong Teluk Intan: Monumen Sejarah yang Unik, Bab 4 Seni Bina Menara Condong Teluk Intan, Bab 5 Memori Menara Condong Teluk Intan, Bab 6 Mengapa Bangunan Purba ini Condong serta Bab 7 Menara Condong Kedua di Dunia dan akhir sekali bab penutup di Bab 8.





Pembahagian bab dalam buku ini sangat teratur dan sistematik apabila membawa pembaca menelusuri Negeri Perak secara keseluruhannya dan secara perlahan-lahan memfokuskan terus kepada Teluk Intan. Pembaca dapat memahami perkaitan antara sejarah pembinaan Menara Condong ini serta mengetahui seni bina asas yang digunakan dalam pembinaan menara ini. Penulis turut memfokuskan kepada beberapa elemen penting yang terdapat di Menara Condong ini seperti Jam Gadang serta fungsi asal pembinaan menara ini. Pada awal pembinaan menara ini, fungsi utamanya ialah sebagai tempat perletakan tangki air yang membekalkan air kepada penduduk sekitar sebelum tahun 1919. Pelbagai fungsi telah dimainkan oleh menara ini selain tempat perletakan tangki air dan tempat rujukan waktu (Jam Gadang) kepada penduduk Teluk Intan.

Tarikan utama dalam memastikan pembaca tertarik dengan buku ini ialah hampir 40% - 50% kandungan buku ini dipenuhi dengan gambar-gambar berinformasi yang menarik. Terdapat gambar lakaran peta lama Negeri Perak dan Teluk Intan yang dahulu dikenali sebagai Teluk Mak Intan. Gambar-gambar berunsur sejarah seperti gambar Residen British, Sir Hugh Low, Sir Frank Swettenham, gambar Rumah Tiang Seribu, Menara Condong sekitar tahun 1920-an dan 1960-an serta Menara Condong Pisa, Itali. Selain memahami teks yang disampaikan, pembaca juga dapat memahami dengan lebih jelas melalui pengamatan melalui gambar dan ilustrasi yang dipersembahkan dalam buku ini.

Secara keseluruhannya, buku yang memfokuskan kepada maklumat berkaitan sejarah yang agak berat telah berjaya mempersembahkan karya ini dalam bentuk yang lebih santai dan menarik namun tetap berinformasi. Ternyata segala maklumat yang dipersembahkan sangat berinformasi dan dapat menambahkan nilai ilmu masyarakat terhadap bahan sejarah di Malaysia.

3 comments:

  1. macam mana nak dapatkan buku ini??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cari di kedai buku 1 Malaysia atau pesan online ke penerbitnya, ITBM. Tp kalau untuk senaskhah dua, boleh beli dari saya. Hubungi peti pesanan fb saya.

      Delete
  2. Terima kasih puan kerana sudi membuat ulasan buku saya ini.

    ReplyDelete