Sunday, May 19, 2013

Menara Berkembar Petronas



Sebagai rakyat Malaysia, adakah anda telah melawat Menara KL, Planeterium Negara, Menara Berkembar Petronas atau Zoo Negara? Kita sendiri sebagai rakyat Malaysia sering melupakan tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan pelancong luar. Bagi kita cukup sekadar membeli-belah di Suria KLCC atau lalu sahaja di Zoo Negara atau Menara KL. Kita tidak mempunyai keinginan untuk melawat ke tempat sebegini. Bagi yang pernah menyertai lawatan semasa semasa persekolahan dahulu, tempat-tempat sebegini memang menjadi agenda wajib. Tapi, setelah itu kita sendiri merasa tidak perlu untuk melawat ke tempat sebegini atau malu untuk berkunjung bersama pelancong luar.

Sabtu yang lalu, dengan azam yang baru utk cuba mengunjungi tempat-tempat menarik di Malaysia, aku bersama rakan telah melawat ke Menara Berkembar Petronas (Sky Bridge Petronas Twin Tower). Bergerak seawal pagi menuju ke KLCC agar kami tidak terlewat unutk membeli tiket. Difahamkan, hanya sejumlah tiket sahaja diperuntukkan utk sehari. Jika kuota tiket telah habis, maka tempahan hanya dibuka untuk keesokannya harinya.

Setelah tiba di KLCC, kami bergerak ke kaunter pertanyaan kerana tidak tahu tempat utk membeli tiket. Jangan risau, jika anda tidak tahu tempatnya staf di kaunter pertanyaan akan membantu anda menunjukkan arah. Kaunter tiket terdapat di Aras Concourse, Aras Bawah Tanah Menara Berkembar KLCC.

                     
 Turut dipaparkan masa lawatan dan harga tiket
 Kaunter tiket dibuka bermula seawal 830 pagi dan ditutup setelah kuota tiket pada hari tersebut habis. Masa lawatan bermula 9 pagi – 9 malam dan dihadkan kepada 40 orang pada satu-satu masa. Tempoh lawatan selama 40 minit.


Masa berkumpul adalah 15 minit sebelum waktu lawatan. Pengawal akan semak tiket dan MyKad sekiranya rakyat Malaysia sebelum berikan pas lawatan. Pas lawatan berbeza warna mengikut waktu lawatan.
                                                     

Setelah berkumpul, sekali lagi peralatan dan beg pengunjung akan diperiksa, macam suasana di lapangan terbang pula. Ini untuk mengelakkan sebarang masalah apabila berada di tingkat atas menara nanti. Beg sandang atau barangan yang dibawa boleh juga disimpan di kaunter beg. Jadi, pengunjung bebas dan boleh mengambil gambar dengan mudah tanpa menjinjing beg dan barangan yang berat. 
                                      
Setelah pemeriksaan keselamatan selesai, sesi taklimat ringkas akan diberikan. Setelah itu, kita akan dibawa menaiki lif ke tingkat 41. Tingkat 41 merupakan jejambat menara berkembar atau dikenali sebagai Sky Bridge berada. Kita diberikan tempoh selama 10-15 minit untuk berada di jejambat ini. Apabila berada di jejambat ini, kita akan terasa sedikit bergoyang. Tapi, dek kerana kagum dengan panorama di bahagian bawah jejambat ini, kita mungkin tidak akan terasa sangat goyangannya. Pemandangan daripada jejambat ini amat menarik. Dari sebelah kanan jejambat, kita akan dapati pemandangan bangunan dan lalu lintas di KL. Manakala, di sebelah kiri pula, kita akan dapati pemandangan yang menakjubkan yang telah dibentuk khusus dari jejambat ini. 
Pemandangan dari sebelah kanan jejambat
Pemandangan dari sebelah kiri jejambat
Di atas jejambat Menara Berkembar Petronas

Setelah itu, kita akan dibawa ke lif bahagian lain pula untuk ke tingkat menara yang lebih tinggi. Lif ini hanya untuk ke tingkat 84,85 dan 86. Kita akan dibawa ke tingkat 86. Terdapat lagi dua tingkat tertinggi di menara ini namun tingkat tersebut hanya utk penyelengaraan.

Di tingkat ini, kita akan dideahkan dengan video interaktif serta pemandangan KL yang menakjubkan dari ketinggian ini.


Pemandangan KL dari tingkat 84
Video Interaktif menggunakan tiket lawatan
Peta dunia lokasi kedudukan Petronas

Setelah mencuci mata dan mendapat maklumat mengenai Petronas, masa lawatan telah sampai ke penghujungnya. Pas lawatan akan dipulangkan dan kita akan dibawa turun semula ke tingkat bawah. Di tingkat bawah ini, kedai cenderamata akan menanti dan kepada yang ingin mendapatkan cenderahati utk keluarga dan teman boleh mendapatkannya di kedai ini. Pelbagai barangan Petronas dan cenderamata KLCC dijual di kedai ini. Beg atau barangan yang ditinggalkan di kaunter tadi, boleh diambil di bahagian kedai cenderamata ini. Dan anda akan melangkah ke luar dengan perasaan menakjubkan.
Satu kongsikembara yg amat menarik. Jom, melawat Malaysia.

1 comment:

  1. Kami bercadang nak bawa anak-anak ke KLCC Sky Bridge di Tahun Baru Cina tahun ni... bila baca pengalaman awak ni, rasa makin tak sabar nak ke sana

    ReplyDelete