Korea dikenali
oleh dunia kerana aktiviti kitar semulanya yang begitu berjaya. Terdapat artikel di Internet yang mengatakan “Mengapa Amerika tidak mengikut cara kitar
semula Korea”. Tajuknya sahaja mengambarkan bahawa cara pengurusan kitar semula
di Korea amat berjaya dan perlu diikuti. Untuk berbahas mengenai kaedah yang
digunakan di kedua-dua negara sama ada menghasilkan impak yang positif atau
negatif kepada masyarakatnya penulis bukan orang yang sesuai. Cukup sekadar untuk
berkongsi budaya masyarakat Korea yang mementingkan pengurusan sampah ini
sehingga dikenali sebagai negara yang mempunyai cara pengurusan sampah terbaik.
Menara N-Seoul |
Budaya yang diterapkan oleh masyarakatnya dalam pengurusan sampah dimulakan
daripada peringkat teritngi sehingga sekiranya membuang sampah tidak
mengikut piawan yang ditetapkan hukuman akan dikenakan. Penguatkuasaan akta ini hanya dapat
direalisasikan apabila hukuman ini betul-betul dilaksanakan. Plastik yang
berbeza mengikut daerah juga diwujudkan bagi membezakan sampah dari tempat-yang
berbeza. Selain itu, tong sampah kitar semula juga disediakan bagi membantu
pengurusan sampah ini berjalan lancar.
Selain peringkat tertinggi memainkan peranannya, golongan pelaksana malah
masyarakatnya sendiri juga turut mengambil berat perihal sampah ini. Apabila
kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing ternyata perkara yang dianggap
sukar oleh masyarakat lain mampu dilakukan di Korea Selatan. Bagi penduduk luar
yang baharu sahaja menetap di Korea dan mempunyai kejiranan warga Korea maka
berhati-hatilah apabila membuang sampah. Jika, seorang makcik (ahjuma) atau
pakcik (ahjussi) ataupun pekerja keselamatan di bangunan tempat tinggal
memarahi anda yang sedang membuang sampah, maka jangan terkejut. Ini kerana,
cara anda membuang sampah adalah salah! Mereka mempunyai prosedur pembuangan
sampah mengikut plastik, tong sampah, jenis sampah dan hari pembuangan sampah. Prosedur
yang telah ditetapkan itu harus diikuti oleh warganegara lain yang menetap di
kawasan kejiranan tersebut.
Masyarakat Korea juga mengajar pelancong luar budaya pembuangan sampah di
Korea. Jika masuk kandang kambing mengebek, masuk kandang harimau mengaum.
Jadi, jika melawat ke tempat orang belajarlah cara kehidupan di sana. Pemandu
pelancong mengajar pelancong agar mengasingkan sisa makanan dengan sampah
daripada bungkusan makanan. Kaedahnya mudah sahaja, asingkan sisa makanan
walaupun kuah sekalipun perlu diasingkan daripada polestren atau bungkusan
makanan. Sisa makanan ini biasanya akan dihantar untuk proses menjadi kompos
ataupun makanan haiwan. Bayangkanlah, waima pemandu pelancong sendiri turut
menitik beratkan perkara ini dan mengajar kepada pelancong asing akan
tanggungjawab menjaga alam sekitar.
Seoul, Korea |
Pengalaman
selama enam hari berada di Korea sahaja
rasanya belum cukup untuk mengupas isu ini dengan baik, namun cukup untuk belajar
sesuatu mengenai pengurusan sampah ini apabila kembali ke Malaysia. Diharapkan
agar pengalaman yang sedikit ini dapat dikongsi dan diaplikasikan bersama. Untuk
menjadikan pengurusan sampah ini suatu budaya, istaqamah dalam pelaksanaanya
amat penting. Mulakan dari diri sendiri, praktikkan kepada keluarga, saudara
terdekat, jiran tetangga dan akhirnya masyarakat juga akan turut mengikutinya.
Budayakanlah pengurusan sampah yang terbaik agar bumi sentiasa selamat untuk
didiami.