Sunday, July 19, 2020

SWITZERLAND - RHINE FALLS

Switzerland ialah sebuah negara yang memang terkenal dengan keindahan kawasan pergunungan dan tasik. Kepada pengunjung yang memandu sendiri, jangan ketinggalan untuk menikmati kawasan air terjun di Switzerland yang pasti membuatkan anda kagum dan tidak henti-henti memuji kebesaran Sang Pencipta dengan keindahan dan keistimewaan yang terdapat di Rhine Falls atau Rheinfall.

Sebelum memasuki Switzerland, kami perlu menampal stiker Vignette atau pas masuk ke negara tersebut dahulu. Pas ini dapat dibeli di stesen minyak dengan harga Euro 40 atau CHF 45 di sepanjang laluan menuju ke Switzerland. Tapi, pastikan anda tidak terlepas membelinya sebelum memasuki sempadan Jerman-Swiss. Jika tiada pas ini, secara automatik kereta anda akan disaman semasa melintasi pintu sempadan. Pastikan anda membaca panduan untuk menampal stiker ini di cermin hadapan kereta bagi memudahkan proses imbasan dapat dilakukan dengan lancar.

Terdapat dua pintu masuk ke Rhine Falls ini, dan kami memilih pintu masuk melalui laluan southern fall: Schloss Laufen, 8447 Dachsen. Pemandangan dari sini lebih menarik dengan tempat parkir percuma dan bayaran masuk sebanyak CHF 5.00 sahaja. Memang berbaloi singgah di sini.






Heidelberg Castle - Jerman

Perjalanan jelajah Eropah kami teruskan ke Switzerland, tapi sebelum itu kami singgah dahulu di Heidelberg Castle (Schloss) yang berada di laluan kami sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Rhine Falls. Tengok di sini untuk maklumat lanjut: https://www.tourism-heidelberg.com/explore/historical-sights/schloss-heidelberg/index_eng.html
Bergambar dahulu sebelum naik ke istana. Di bahagian bawah ialah tempat kami memarkir kereta. Agak susah juga handak mencari tempat parkir berdekatan dengan kawasan ini. Kereta tidak boleh diletakkan sesuka hati ya, mesti diletakkan di tempat yang dibenarkan sahaja.

Pemandangan yang dapat dinikmati daripada kawasan istana. Hendak sampai di sini, kita boleh berjalan dengan menaiki tangga (perlu membayar pas masuk) atau boleh menaiki kereta kabel (lebih mudah) dengan bayaran tertentu.

Istana ini telah dibina sekitar 1300 tahun yang lalu dan kini dijadikan muzium yang mempamerkan keindahan seni bina dan landskap taman dalam istana ini. Tapi, kami tak masuk sampai ke dalam disebabkan kekangan masa. Jadi, kami hanya bergambar dan melihat di kawasan luar sahaja.

Ada yang menawarkan diri untuk mengambil gambar kami berempat setelah melihat kami asyik berswafoto sahaja. Terima kasih adik Jerman.
Masa untuk turun bagi menyambung perjalanan kami seterusnya. Kami bernasib baik kerana dapat duduk di bahagian hadapan kereta kabel, jadi dapatlah nikmati pemandangan yang indah ini.

Mencari makan di Volendam

Kami meneruskan perjalanan mencari makan tengah hari selepas selesai lawatan di Zaanse  Schans. Sebenarnya, Volendam tiada dalam senarai tempat lawatan kami,  tapi sebab perjalanan ini kami yang rancang, jadi kami ambil kesempatan untuk mencari makanan laut.  Jadi,  daripada hasil carian di Google dan bacaan sebelum ini, maka terjumpalah Volendam yang tidak jauh dari tempat kami berada. Volendam ialah sebuah pelabuhan dan perkampungan nelayan serta tempat tarikan pelancong bagi menikmati makanan laut. Maklumat lanjut rujuk di sini: https://www.holland.com/global/tourism/destinations/more-destinations/volendam.htm
Jom,  kita ke laut pula.




Mencuba makanan laut di Volendam; nasi paela yang ditimbuni isi udang,  kepah,  sotong (memang sedap)  serta variasi makanan laut disaluti tepung yang dikongsi bersama 4 orang.  Hmmm... Harganya lebih kurang 45 euro. Jgn tukar ke ringgit ya😅

EROPAH, BELANDA: SEHARIAN DI ZAANSE SCHANS

Akhirnya, tempat yang penting untuk dituju sepanjang kembara di Belanda ini iaitu Zaanse Schans. Kami tiba awal sekitar jam 10 pagi di sini dan berjaya mendapat parkir di bahagian dalam. Bayaran parkir sekali masuk ialah 10 Euro; hampir RM50 juga. Bas pelancong masih belum banyak, mungkin kebanyakan dalam perjalanan dari bandar ke sini. 

Kami sangat teruja untuk ke sini sebab kita boleh lihat 4 tarikan utama Belanda di satu tempat. Di sini kita boleh melihat proses membuat keju, kincir angin, membuat terompah kayu dan coklat. Sebab itulah, kami berada di sini agak lama. Tambahan pula, menikmati pemandangan yang begitu cantik dan menyamankan. 



Bertemu dgn orang Malaysia; pelajar dari universiti di Mesir yg sedang cuti semester. Seronoknya diaorang, masih belajar dapat mengembara ke sana sini.  


Rumah kincir angin; nak masuk kena bayar yea.  Kami tak masuk pun, sekadar bergambar dan melihat dari luar sahaja. 






Saturday, January 11, 2020

EROPAH, BELANDA: AMSTERDAM


Perjalanan kami diteruskan lagi ke Amsterdam dari Rotterdam. Bila kita yang rancang perjalanan sendiri, memang tak ikut perancangan asal la. Dan masa pun jauh ke laut. Kalau ikut, Rotterdam hanya tempat persinggahan bermalam sahaja. Tapi, bandar Rotterdam ini memang cantik dan penuh dengan keunikan tersendiri. Tambah pula, di hotel City Hub sendiri pun terlalu membuatkan kami WOW dan belum habis teroka lagi. Sebab itulah daftar keluar pun agak lewat. 

Jadi, kami sampai ke Amsterdam dalam 12 tengah hari macam tu. Cabaran memandu sendiri ni ialah nak mencari tempar parkir yang dekat dengan tempat yang kita nak lawat. Adoi, susah betul, dan perlu pusing beberapa kali. Tambah pula, dalam bandar ni dengan adanya tram lagi, memang banyak laluan yang kita perlu hati-hati dan kadang-kadang tersilap masuk simpang. Tapi, itulah pengalaman yang kita tak akan peroleh di mana-mana. Seronok dan penuh dengan kejutan.

Setelah berpusing-pusing kami berjaya juga masuk ke tampat parkir. Bayaran parkir memang agak mahal, tapi semua tu dah masuk dalam bajet awal. Kami juga solat di kawasan parkir; ruang kecil di antara kereta. Di mana-mana boleh solat asalkan bersih. Selamat kami tidak dihalau.

Kami melawat ke Rijksmuseum yang terkenal. Sekadar bergambar dan melihat kawasan sekitar


Sebenarnya teringin untuk makan waffle di Brussel, tapi alangkah sedihnya sebab sampai di Brussel malam. Jadi, nikmatinya sahaja di Asmterdam. Sebab tamak, beli seorang satu. Dan....akhirnya semua tak makan. Sebabnya waffle yang gemuk ni, rasanya tersangat manis...


I amsterdam, janji dapat bergambar dengan perkataan Amsterdam

Terompah yang terkenal di Belanda

Taman bersebelahan muzium, boleh main catur gergasi 

Akhirnya jumpa juga peti surat di Amsterdam. Yang dicari bewarna merah, rupanya warnanya oren. Kami nak pos poskad Amsterdam ke Malaysia

Amsterdam terkenal dengan boat cruise, kami tak naik pun, tak cukup bajet

Basikal dan Amsterdam

Di Amsterdam, kami hanya berpusing-pusing sekitar Rijksmuseum sahaja sebab di sini pun banyak tempat yang menarik. Cadangnya nak singgah ke bandar, tapi nak naik tram kena bayar guna kad kredit. Tak jadilah hasrat kami tu. Cukup, melepak di kawasan ini sahaja.

Di belakang aku tak silap ada bangunan Muzium Van Gogh. Kiranya, lepak di kawasan muzium sahaja walaupun tak masuk

EROPAH, BELANDA: ROTTERDAM SATU PERSINGGAHAN


Daripada Brussel kami terus gerak menuju ke Rotterdam untuk bermalam di sana. Dari Brussel jam menunjukkan jam 10 mlm dan semua telah letih seharian berjalan tanpa henti. Tapi, hentian akhir masih belum ketemu. Malam itu, kereta dipandu oleh Wahid menuju ke Rotterdam.

Sampai sahaja di bandar Rotterdam, kami dah buntu sebab banyak jalan untuk ke hotel kami menginap tutup. Adoi, berpusing-pusing juga kami. Sudahlah hampir tengah malam. Semua dah keletihan.

Setelah hampir setengah jam juga berpusing-pusing, kami akhirnya berjumpa dengan hotel kami menginap. Tapi, masalahnya ialah tempat parkir. Di kawasan Rotterdam atau mana-mana kawasan bandar di Eropah ini, tempat parkir menjadi sedikit masalah kerana agak terhad. Jadi, kami terpaksa memarkir di kawasan yang agak jauh dan berjalan sambil membawa beg ke hotel tersebut. 

Sebenarnya kami sampai pada tengah malam dan Kawasan Rotterdam terutama Kawasan berdekatan hotel tempat kami menginap ialah kawasan kelab malam dan banyak muda-mudi berhibur. Jadi, memang kami banyak berdoa agak tiada apa-apa perkara yang tidak diingini terjadi sebelum kami daftar masuk ke hotel.


Di hadapan Hotel City Hub Rotterdam. Konsep hotel yang amat menarik dan berteknologi tinggi



Inilah kafe hotel yang juga merupakan lobi. Konsep dua dalam satu. Kami makan makanan dari Malaysia ya. Jimat wang

Inilah bilik kami. Konsep katil dua tingkat, tapi satu bilik untuk katil atas dan bilik sebelah pula, katil bawah
Hotel City Hub Rotterdam menjadi pilihan aku kerana biliknya dan teknologi terkini yang amat  menarik. Lagipun, harga yang berpatutan dengan bajet kami. Sampai sahaja di hotel, wahhhhh….banyak betul kejutannya. Hotel ini memang sempoi. Sebab itulah dapat review tinggi di Booking.com.


Semua bayaran tanpa tunai dan siap berikan kita wifi portable lagi untuk kegunaan di luar hotel. Dan kami diberikan wrist braclet sebagai kunci bilik. Daftar masuk bilik pun dibuat terus oleh penginap dengan dibantu oleh staf hotel tersebut. Biliknya pun menarik. Boleh google CityhubRotterdam untuk maklumat lanjut ya.


Tempat parkir kereta kami, jauh sedikit dari hotel

 


Pemandangan sekitar hotel di Rotterdam, sempat ambil gambar dalam perjalanan ke tempat parkir



Basikal dan Belanda memang tidak dapat dipisahkan

Rotterdam ini hanyalah tempat persinggahan untuk bermalam. Jadi, alang-alang singgah kami akan melawat sekitar Rotterdam ini. Sebenarnya, malam semasa sampai di sini, kami disajikan dengan keindahan dan keunikan struktur bangunan yang ada di sini. Kami ternampak jambatan yang begitu cantik berbentuk riben dengan kerlipan cahaya yang amat menarik. Tapi, malangnya ingatkan boleh lihat lagi jambatan dan bangunan tersebut esoknya. Tapi, kami melalui jalan lain utk ke Amsterdam. Punah harapan.
Tapi, sempatla melawat bangunan The Cube House ini. 


The Cube House, dalam ini ada muzium tapi kena bayar kalau nak masuk. Kami, sekadar bergambar di luar sahaja