Wednesday, August 7, 2019

Melangkap tarikan baharu di Kota Belud

Sabah antara negeri yang telah banyak kali aku lawati baik untuk bercuti atau urusan kerja. Kali ini aku melawat ke Sabah lagi atas urusan kerja tapi memutuskan utk ke sana lebih awal untuk bercuti. 
"Tim,  aku ke sana Sabtu. "
"Ok.  Kita pergi Kota Belud. " 
Kawan Sabahan aku terus cadangkan ke Kota Belud.  Apalagi aku pun google dulu tempat menarik di sana.  Wah... Memang banyak tempat menarik di sana terutama di Melangkap.  Terus aku "on" trip kami ke sana. 

Melangkap terletak di bahagian Kota Belud tapi berhampiran laluan ke Kundasang.  Pelancong yang ingin ke Kundasang akan singgah dahulu di sini sama ada semasa pergi atau pulang dari Kundasang. 

Kawasan ini adalah tarikan baharu Sabah sejak 2017 lalu iaitu sejak terjadinya gempa bumi di Sabah. Setiap musibah pasti ada hikmahnya.  Inilah hikmah alam dan lubuk rezeki yg Tuhan berikan kepada hamba-Nya.  Nikmat apalagi yang kamu hendak dustakan?

Setibanya aku di Lapangan Terbang KK, Tim ambil aku dan terus kami gerak ke Kota Belud.  Rupanya kawan aku ini pun belum pernah ke sana.  Jadi trip kali ini memang lagi menarik sebab kedua2nya belum pernah ke kawasan ini. Kami ke sana berpandukan google map sahaja. 

Perjalanan kami dari KK ke sana melalui jalan berbukit yang ke Kundasang. Laluan ini lebih dekat tp agak mencabar kerana sukar untuk memotong kenderaan lain disebabkan satu laluan dan berbukit.

Hampir sejam lebih akhirnya berjumpa dengan simpang ke Melangkap.  

Borneo Bayau Flying Fox
Aktiviti pertama aku ialah flying fox di Borneo Bayau Flying Fox. Ini kali pertama aku membuat aktiviti ini. Sangat teruja sebab aku akan menikmati pemandangan sungai dan gunung Kinabalu yang sangat memukau. 

Bayaran utk aktiviti ini ialah RM50,  tapi sebab aku bertanya dahulu kepada staf yang tak uruskan bayaran katanya dlm RM38 aku pun minta dengan harga tersebut. Alhamdulillah, dipermudahkan. Aku bayar hanya RM38 sahaja. Aku pun tak tahu harga ini mahal atau murah.  Janji sudah sampai sini kita cuba dan bayar sajalah. 

Semasa kami di sana,  ada kumpulan pelancong dari Hong Kong yang sedang melakukan aktiviti ini.  Mereka berada di sini selama 2 minggu utk aktiviti perkhemahan. Tempat ini juga telah dikenali oleh orang luar.  Ayuh orang Malaysia, pastikan kita telah jelajah dahulu tempat kita sebelum orang luar. 
Inilah pemandangan yang aku akan nikmati semasa flying fox nanti.  Jarak daripada tempat berlepas tidaklah terlalu jauh. 


Si Tim yang gayat.  Aku seorang saja yang buat flying fox.  Kau bagilah byk mana duit pun si Tim tetap tak mahu naik. 

Mula-mula semasa berada di atas dek atas utk berlepas,  bukan main gementar lagi.  Lepas dah berlepas wow bukan main seronok lagi.  Aku siap mendepakan tangan.  Subhanallah, pemandangan yg sangat menakjubkan dan udara yang sangat menyegarkan. Terujanya... 

Polumpung Melangkap View Camp Site
Seterusnya, setelah selesai aktiviti ini kami perlu mencari lokasi penginapan. Melalui carian di google ramai yang mencadangkan tidur dalam khemah di Polumpung.  Tapi,  sebenarnya kami tidak ada perancangan langsung utk tidur dlm khemah. Hanya ingin meninjau dahulu kawasan tersebut. Tiada bekalan makanan yang dibawa.




Semasa di kaunter masuk ke Polumpung, kami kerap bertanya kpd petugas kaunter.
"selamatkah kawasan ini kalau tidur dalam khemah di sini? " 
Takut beb,  lama dah tak tidur dalam khemah. 
Puas juga adik kaunter tu jawab "selamat,  jangan risau. "
Apalagi, setelah mencongak bayaran masuk bermalam, sewa khemah, tapak dan tilam terus kami setuju tidur dalam khemah.  Murah beb.  Semua tu tak sampai RM 50. Lagi menarik daripada kami sewa bilik dengan harga RM130.

Bayaran masuk bermalam ialah RM6/orang dan jika tidak bermalam hanya RM3.
Jangan risau ya, khemah yang disewa akan dipasangkan oleh pihak camp, kita hanya cari tempat nak letak khemah saja. Kami memilih lokasi di tepi sungai.


Air sungai yang terlalu deras, takut nak melintas di tengah-tengah.

Ada jambatan gantung, cantik pemandangan ini.

Rupanya kawasan ini banyak trip keluarga yang datang. Dan ramai Muslim. Surau juga disediakan utk kemudahan solat.  Selain itu,  tandas, bilik mandi juga disediakan serta dewan dan tempat memasak boleh disewa dengan bayaran tertentu.  Sesuai utk aktiviti sekolah, jabatan atau perjumpaan keluarga.

Apalagi, setelah selesai semua, kami pun berendam dalam sungai. Air memang sejuk dan deras; seperti jeram. Tak berani untuk ke kawasan tengah, memang terlalu deras. Jadi, bertepian sahajalah. Tapi, itu pun dah cukup seronok. Maaf, gambar tak dapat ambil, sebab tak berani nak bawa telefon di sini. Simpan dalam memori sajalah...





Suasana malam dari dalam khemah yang ditemani deruan air sungai dan kerdipan bintang di langit.  Wow,  inilah keindahan alam.

Pemandangan pagi berlatar  belakang Gunung Kinabalu. Terbaiklah!

Sebelum pulang, wajib utk berendam dan mandi sungai sekali lagi. Kami pagi-pagi lagi dan masuk sungai...Huishhh, air sejuk, gigil. Tapi, bila dah berendam tak rasa dah sejuk tu dan jadi sebati dengan badan.

Jam 8 kami dah selesai berkemas dan bersedia utk pulang ke KK.

Jalan menghadap Gunung Kinabalu. Penduduk kampung mesti dah bosan lihat gunung itu hari-hari.








Selamat tinggal Polumpung, nanti aku akan kembali lagi.













Ikan Jinak
Sebelum pulang, kami singgah dulu utk  membuat rawatan spa di ikan jinak. Bayaran masuk RM3 dikenakan dan makanan ikan boleh dibeli dengan RM1 sahaja. Aku sarankan belilah makanan ikan ini.



Ikan kelah ini memang jinak dan tunggu makanan disuap ke mulut sahaja. Terasa ciuman ikan kelah di kaki...haha
Mula-mula geli bila ikan bergesel dan menggigit di kaki, tapi bila dah biasa tu rasa seronok pula main dengan ikan-ikan ini.






-Biar digigit ikan, jangan digigit cinta
fuhhh, ayat tak boleh belah...












Tamu Kota Belud
Kami bergerak pulang ke KK melalui Tamu Kota Belud. Jadi, singgah sebentar utk membeli buah tarap dan bambangan. Memandangkan hari kami ke sini hari Ahad, jadi kawasan tamu agak sesak dan sukar mencari tempat letak kereta. Kami hampir berputus asa dan hendak terus pulang sahaja, tapi akhirnya terjumpa di penghujung simpang. Bolehlah meninjau kawasa tamu ini.


Tak sempat bergambar makan bambangan macam makan mangga. Siap aku suruh kakak jual tu tolong kupaskan lagi. Rasanya macam buah bachang; memang sedap buat sambal bachang.

Antara akar kayu yang dijual di sini.